JURULATIH Felda United, Nidzam Jamil mahu memburu kemenangan terakhir bersama The Fighters meskipun akur keputusan Felda menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga M).
Tegasnya, tiada apa yang dapat dilakukannya meskipun mengakui ia tindakan merugikan kerana Felda United sudah membina struktur bola sepak terbaik di Malaysia terutama dari segi pengurusan serta melahirkan pemain berbakat.
Ketika ini, Felda United ada satu baki aksi menentang Selangor Sabtu ini dan jika meraih kemenangan, Felda United mendaki tangga ke-10 sekali gus mengelak daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan.
“Felda United merupakan pasukan yang cukup lama dalam Liga Malaysia dan telah mengeluarkan jutaan ringgit bagi membina pasukan terbaik dan pernah beraksi di peringkat Asia (AFC).
“Mungkin di luar sana tidak mengetahui pemain di akademi, Piala Belia dan Piala Presiden adalah 100 peratus anak Felda.
“Meskipun sukar untuk menerimanya tetapi inilah bola sepak. Mungkin pengurusan baharu ada sebab tersendiri. Saya sebagai jurulatih dan pemain menerimanya dengan hati terbuka,” katanya semalam.
Ditanya sama ada aksi menentang Selangor nanti sekadar melengkapkan jadual, Nidzam menegaskan, pasukan itu berjanji memberi permainan terbaik untuk meraih kemenangan.
“Kita datang secara baik dan pergi juga secara baik. Pemain juga telah berjanji akan bermain mati-matian meskipun jodoh tidak bersama Felda United.
“Tidak guna meratapi kesedihan. Kami tetap kena teruskan permainan terbaik sehingga selesai kontrak.
“Apa yang boleh saya katakan, Felda United merupakan majikan terbaik saya selama empat tahun bersama mereka,” kata Nidzam yang mempunyai kontrak sehingga 2021.