KLANG – Kegiatan licik seorang pengurus bank disyaki memperdaya pelanggannya untuk menyertai satu skim pelaburan terbongkar apabila dicekup polis, hari ini.
Lelaki berusia 59 tahun itu dipercayai menawarkan skim berkenaan sebelum bertindak mengeluarkan wang akaun bank mangsa tanpa pengetahuan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan suspek dilakukan hasil laporan polis seorang pengurus kedai emas yang menyedari wang akaun banknya berjumlah RM850,000 dikeluarkan pada 14 Januari lalu.
Kata beliau, wanita berusia 60 tahun itu mengesyaki perbuatan berkenaan dilakukan suspek di sekitar daerah ini tanpa kebenarannya.
“Siasatan mendapati mangsa berurusan dengan pengurus bank itu untuk memasuki skim pelaburan berjumlah RM130,000 pada 2 Disember 2020.
“Wanita itu kemudian mengizinkan suspek menguruskan akaun bank miliknya dan turut menyerahkan buku akaun bank bagi pelaburan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, pihaknya bertindak menahan suspek atas waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah hari ini.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan esok.
“Empat pertuduhan dikenakan ke atas suspek dengan melibatkan kerugian RM164,000,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya setakat ini menerima 47 laporan polis melibatkan kerugian lebih RM14 juta dengan melibatkan suspek sama dan mangsanya adalah pelanggan bank berkenaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dengan kerjasama pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Selangor,” katanya. – KOSMO! ONLINE