fbpx

Mohd. Ali Rustam dilantik Canselor UTeM ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ali.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dilantik sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ketiga bermula 15 Ogos lalu.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan UTeM, pelantikan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohd. Ali menggantikan Canselor UTeM terdahulu yang merupakan bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Menurut kenyataan dikeluarkan UTeM, Mohd. Ali dilantik sebagai Canselor UTeM selama empat tahun mulai 15 Ogos hingga 3 Jun 2024.

“Pelantikan Canselor baharu UTeM telah disampaikan barisan pihak pengurusan tertinggi UTeM diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Melaka.

“Pelantikan ini juga bertepatan sumbangan besar beliau sebagai individu yang membangunkan Melaka dalam pelbagai aspek termasuk meletakkan negeri ini sebagai antara destinasi pelancongan terkenal dunia,” kata kenyataan itu.

Mohd. Ali merupakan anak jati Bukit Katil dilahirkan 24 Ogos 1949 dan merupakan graduan Sarjana Muda Kemasyarakatan (Pembangunan Ekonomi) di Universiti Sains Malaysia (USM) serta Sarjana Sastera di Universiti Malaya (UM).

Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang ketujuh pada 4 Jun lalu selain pernah menabur bakti sebagai Ketua Menteri Melaka dari 1999 hingga 2013.

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau adalah sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari tahun 1995 hingga 1998 dan Timbalan Menteri Kesihatan dari tahun 1998 hingga 1999.

Mohd. Ali turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan memulakan kerjaya awal sebagai Pegawai Kerani di Tenaga Nasional Berhad sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Kemas Kedah pada 1979.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kemas Perlis selama setahun dari 1980 hingga 1981. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI