fbpx

PRU15 : Keputusan rasmi bubar DUN P. Pinang diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (tengah) ketika ditemui di sebuah hotel di Persiaran Gurney, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Keputusan rasmi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan serentak atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan diketahui esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada mesyuarat yang diadakan semalam telah memberi peluang dan kesempatan untuk mendengar hujah daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

“DAP Pulau Pinang telah cuba sedaya upaya untuk membawa hujah terbaik kepada DAP Pusat untuk mengkaji semula keputusan agar diadakan pilihan raya secara serentak dan kita dapat yakinkan DAP Pusat untuk bawa isu ini pada mesyuarat PH.

“Pengumuman rasmi mengenai isu ini akan diketahui esok, PH Pusat yang akan umumkannya bukan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Persiaran Gurney, di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata, Majlis Presiden PH telah mendengar dan meneliti permohonan dibawa oleh pimpinan negeri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan PRU15.

Beliau menjangkakan Majlis Presiden akan membuat ketetapan tentang perkara itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam akan datang.

Menurut Kon Yeow, isu mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang itu dijalankan secara berperingkat iaitu bermula dengan perbincangan di peringkat PH negeri dan seterusnya dibawa ke peringkat PH Pusat.

“PH Pulau Pinang juga telah bersetuju agar isu berkaitan DUN Pulau Pinang ini dibawa ke peringkat PH Pusat, ini adalah perkara yang dibuat secara berperingkat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, suara rakyat yang mahukan DUN dibubarkan serentak menjadi faktor mengapa pihaknya membawa isu itu ke peringkat PH Pusat.

“Selain itu, faktor logistik juga diambil kira kerana ia lebih mudah jika diadakan serentak,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI