fbpx

Tertekan pedal minyak punca kereta rempuh Bubble Bee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Outlet BubbleBee di Meru, Ipoh dilanggar oleh sebuah MPV hari ini. - Foto INSTAGRAM SHUIB SEPAHTU

IPOH – Tertekan pedal minyak dipercayai menjadi punca kereta dipandu seorang lelaki merempuh kedai minuman air boba berasaskan madu lebah, Bubble Bee di sebuah pasar raya Meru Raya di sini pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian pukul 10.53 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan kepada pemandu berusia 43 tahun.

“Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di mana lelaki itu dipercayai tertekan pedal minyak, menyebabkan kereta Naza Ria dipandunya meluncur melanggar sebuah motosikal dan premis berkenaan.

“Pelanggaran tersebut mengakibatkan kerosakan pada cermin premis, mesin dan komputer serta kabinet manakala motosikal dan kereta pula mengalami kerosakan di beberapa bahagian,” katanya di sini hari ini.

Keadaan premis Bubblee Bee di Meru yang dilanggar sebuah MPV hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Dalam kejadian itu, penyelia kedai dan pemilik motosikal tidak cedera. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, pengasas Bubble Bee, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib menerusi hantaran di laman sosial Instagramnya berkata, kejadian itu berlaku di cawangan Bubble Bee di Meru.

“Tak tahu bagaimana boleh terjadi, sedang siasat. Mungkin pemandu ingat outlet ini drive-thru (pandu lalu). Alhamdulillah, semuanya ok. Tiada kemalangan. Semoga urusan pemandu dipermudahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI