BESUT – Gara-gara memindahkan 50 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada dua bulan lalu, seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, N. Manogaran, 49, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membawa 50 ekor lembu yang masih hidup dengan menggunakan sebuah treler di Kampung Kuala Besut di sini pada pukul 12.20 tengah malam, 6 Ogos lalu.
Tertuduh gagal mengemukakan surat kebenaran JPV bagi membawa lembu-lembu berkenaan.
Manogaran didakwa dalam perjalanan untuk menghantar 50 ekor lembu tersebut ke satu lokasi di negeri ini dari Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Lelaki itu didakwa mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah Terengganu yang diwartakan mengikut Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
Hukuman denda maksimum RM15,000 boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
Majistret Raja Norshuziana Shakila menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda RM8,000 berkenaan.
Beliau juga memerintahkan kesemua 50 ekor lembu yang disita tersebut dilucutkan hak dan hasil jualannya diserahkan sebagai hasil kerajaan. – KOSMO! ONLINE