LONDON – Juara dunia, Marc Marquez mengakui dia ‘tidak obses’ untuk memburu gelaran dunia MotoGP ketika ini tetapi misi tersebut boleh berubah sekiranya dia kembali mendapat sentuhan terbaiknya bersama jentera Repsol Honda.
Juara dunia enam kali itu yang menjalani pembedahan bahu kanan keempatnya sejak 2020, dilihat mula mencari tunggangan terbaiknya semula selepas sebelum ini motivasinya menurun kerana beraksi dalam keadaan sakit.
Kini, pelumba Sepanyol itu kembali bertenaga untuk kembali berada di podium selepas melihat keadaan lengannya mula menunjukkan peningkatan terbaik setiap kali turun ke litar perlumbaan.
“Saya tahu apa yang saya capai sebelum berdepan kecederaan tetapi sekarang saya tidak kisah akan hal itu. Ketika ini, saya memikirkannya apabila saya bersara. Contohnya, apabila kami melepasi kelayakan kedua (Q2) kami raikannya. Jika menduduki baris kedua atau ketiga, kami tetap raikan.
“Anda tidak boleh berada di puncak sepanjang masa. Anda akan mengalami pasang surut. Ramai legenda pada masa lalu mengalami kecederaan teruk. Saya juga banyak bercakap dengan Mick Doohan.
“Tanpa kecederaan kaki yang dialaminya, berapa banyak agaknya kejuaraan dunia yang Doohan boleh menangi. Tapi akhirnya apa yang dilakukannya sangat menakjubkan.
“Sekarang saya mempunyai motivasi baharu. Saya tidak taksub untuk memenangi satu lagi kejuaraan dunia tetapi ia boleh berlaku pada masa depan,” kata Marquez.
Marquez mendapat semangatnya semula apabila berjaya menempah petak utama ketika bersaing pada Grand Prix (GP) Jepun meskipun terpaksa bergelut dengan cuaca hujan lebat dan petir di Motegi.
Meskipun tidak berjaya memenangi perlumbaan di Jepun, namun Marquez gembira kerana menamatkan saingan tempat keempat meskipun keadaannya belum cukup sempurna 100 peratus. – AGENSI