PYONGYANG – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu kruz jarak jauh berkeupayaaan membawa peledak nuklear dengan pemimpinnya, Kim Jong-un memuji pelancaran tersebut sebagai bukti keupayaan serangan nuklear taktikal Pyongyang, lapor media pemerintah semalam.
Pelancaran berkembar itu adalah terbaharu dalam siri provokasi ujian senjata yang meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan menambah kebimbangan bahawa Pyongyang akan melakukan ujian nuklear pertamanya sejak 2017.
Jong-un sendiri menyelaras ujian dua peluru berpandu itu kelmarin yang terbang sejauh 2,000 kilometer melintasi lautan, kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA). Menurutnya, misil-misil itu mengenai sasaran tetapi tidak menyebut sasaran tersebut.
Pemimpin Korea Utara itu menzahirkan ‘perasaan berpuas hati’ dengan ujian tersebut.
“Ujian ini direka untuk meningkatkan keberkesanan tempur peluru berpandu Korea Utara. Ia adalah untuk operasi nuklear taktikal,” kata KCNA.
Pada minggu ini, Korea Utara menyatakan bahawa siri ujian peluru berpandunya baru-baru ini melibatkan latihan nuklear taktikal untuk simulasi menyerang Korea Selatan.
Selepas ujian kelmarin, Jong-un berkata, Korea Utara harus meluaskan sfera operasi angkatan bersenjata strategik nuklearnya.
“Jong-un menekankan bahawa kita perlu menumpukan segala usaha untuk menyegerakan pembangunan angkatan tempur nuklear negara,” kata KCNA.
Pemimpin Korea Utara itu menjadikan pembangunan senjata nuklear taktikal sebagai keutamaan semasa kongres Parti Pekerja Korea pada Januari 2021, manakala tahun ini pula, beliau berjanji akan membangunkan angkatan nuklear Korea Utara seberapa segera yang boleh.
Nuklear taktikal merujuk kepada senjata nuklear lebih kecil yang direka untuk kegunaan di medan perang. – AFP