SUNGAI PETANI – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akur dengan keputusan Pas Pusat yang mengekalkan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam masa terdekat.
Selaras dengan keputusan itu, kata beliau, DUN Kedah tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 meskipun Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita akur dengan keputusan parti, bubar atau tidak bergantung kepada Pas Pusat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, pembahagian kerusi calon PN di Kedah untuk PRU15 telah selesai.
Beliau berkata, senarai calon yang akan turut membariskan orang muda itu akan diserahkan kepada PN Pusat pada Ahad depan.
Pas menyandang 15 daripada 36 kerusi DUN Kedah dan mengetuai kerajaan PN di negeri ini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai enam kerusi manakala UMNO hanya menyandang dua kerusi. – KOSMO! ONLINE