JOHOR BAHRU – Seorang pemandu cedera selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan yang berlaku di Tambak Johor, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, empat buah kenderaan yang terlibat adalah dua buah lori dan dua buah kenderaan awam.
Menurut beliau, pemandu yang cedera merupakan pemandu kenderaan jenis Perodua Bezza.
“Dalam kejadian pada pukul 9.07 pagi itu, sebuah lori jenis Tipper membawa muatan pasir hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah lori treler di laluan lain.
“Lori Tipper berkenaan terus ke depan sebelum merempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza, menyebabkan pemandunya tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, pemandu tersebut kemudiannya diselamatkan anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Manakala tiada individu lain yang dilaporkan cedera dalam kemalangan berkenaan,” katanya sambil memaklumkan kesemua pihak terlibat adalah warganegara Malaysia.
Raub turut memberitahu, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sementara itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-5919208,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar yang menunjukkan satu kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Tambak Johor yang menghubungkan antara Malaysia dan Singapura. – KOSMO! ONLINE