LUMUT – Sebanyak lima premis perniagaan sekitar daerah Manjung dipotong bekalan elektrik hari ini selepas dipercayai menjalankan kegiatan perjudian tidak berlesen.
Kesemua premis tersebut berselindung di sebalik perniagaan sah seperti menjual telefon bimbit dan tambah nilai data komunikasi bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tindakan itu dilakukan di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit supaya ia tidak kembali beroperasi.
“Beberapa premis yang dikenal pasti masih aktif menjalankan kegiatan perjudian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Premis tersebut didapati masih berdegil dan tidak serik dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah sebelum ini,” katanya selepas mengetuai operasi tersebut hari ini.
Menurut beliau, sejak Januari lalu sehingga hari ini, sebanyak 286 kertas siasatan telah dibuka dengan 186 kertas siasatan daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala 59 masih lagi dalam siasatan.
Jelas beliau, sebanyak 13 buah premis pula telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.
Beliau memaklumkan, sepanjang tahun lalu, sebanyak 306 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 253 kertas siasatan telah didakwa di mahkamah.
“Bagi statistik pemotongan bekalan elektrik pula, sebanyak 14 buah premis telah berjaya diambil tindakan tersebut,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE