PETALING JAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang diadakan di Pejabat Pas Pusat, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Abdul Hadi berkata, pada mesyuarat itu juga, Pas berpendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas prinsip penyatuan ummah.
Selain itu katanya, Pas turut memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN.
“Senarai calon daripada Negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE.