KOTA BHARU – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri lima jenis barangan kemas yang bernilai RM27,000 di sebuah kedai emas di Jalan Wakaf Stan dekat sini bulan lalu.
Tertuduh, Anizan Sani, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah mencuri seutas rantai Coker, seutas rantai boba belut, seutas rantai tangan G. Love, sebentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai RM27,000.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah kedai emas di Jalan Wakaf Stan di sini kira-kira pukul 12.24 tengah hari pada 12 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, Yusnaliza menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi pertuduhan yang dihadapi wanita itu.
Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah dan anak guamnya bersedia dengan segala syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.
Menurutnya, suami tertuduh yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah turut hadir untuk membayar ikat jamin.
“Tertuduh yang merupakan ibu kepada lima orang anak menghidap penyakit luka pada bahagian usus, darah tinggi dan kencing manis. Dia juga perlu hadir ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan.
“Oleh itu, saya mohon jaminan yang rendah dan munasabah ditetapkan kepada tertuduh,” katanya.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Sebelum ini, tular satu video di aplikasi Tik Tok yang memaparkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai emas yang mendakwa seorang wanita mencuri barangan kemas semasa datang membeli emas di premis tersebut.
Menerusi rakaman itu, wanita tersebut dilihat memilih emas, namun pada masa sama, dia mengambil kesempatan mencuri beberapa barangan kemas. – KOSMO! ONLINE