PETALING JAYA – Seorang pelajar terkedu apabila mendapati keadaan bilik yang disewa sangat kotor dan terdapat bangkai tikus.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah negeri di Pantai Timur itu mengecewakan pelajar perempuan itu yang membayar sewa sebanyak RM180 sebulan.
Menerusi perkongsian video di TikTok @princessliaa._ memaparkan gambar keadaan rumah sewa yang dihantar oleh penyewa dan gambar keadaan ‘sebenar’ yang jelas berbeza apabila mereka tiba disana.
“Dua bulan before (sebelum) universiti dah start (mula) kena bayar sewa tapi ini yang aku dapat,” tulis pelajar tersebut.
Setakat ini, hantaran video tersebut telah meraih 600,000 tontonan, 26,000 tanda suka dengan 264 perkongsian.
Susulan itu, hantaran tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut sama bersimpati dan terkejut dengan keadaan rumah sewa yang sangat bersepah dan kotor serta ada juga yang turut berkongsi pengalaman yang sama.
“Loya tengok peti ais dengan tempat masak dia,” tulis seorang netizen.
“Cari bilik lain dik, siap ada tikus bagai, seram weh!,” tulis seorang lagi netizen
“Kita sama, nak nangis, peti ais kat tempat saya dah naik kulat. Allah, dengan rumah kena tinggal dalam keadaan baru lepas kena ribut,” komen seorang netizen lainnya.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang mempersoalkan mengapa pelajar tersebut tidak membuat tinjauan awal terlebih dahulu sebelum menyewa atau membuat sebarang pembayaran.
“Tak pergi survey (tinjau) dulu ke sebelum buat pembayaran.
“Sebab tu kalau sewa baik pergi tengok sendiri dulu sebelum masuk, kalau stay (tinggal) jauh, boleh mintak kawan yang tolong tengokkan,” komen netizen tersebut.
Bertitik tolak daripada itu, pelajar tersebut juga ada meninggalkan pesanan di ruangan komen videonya menasihati pelajar lain untuk berhati-hati agar tidak mengalami perkara yang sama dengannnya – KOSMO! ONLINE