SHAH ALAM – Pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan dilakukan kerana mengikut telunjuk kleptokrat dan membebaskan kluster mahkamah sebaliknya bagi memastikan keabsahan kerajaan diakui sewajarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan keabsahan kerajaan terus dipersoalkan sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kepimpinan negara dengan dikatakan kerajaan tebuk atap, pintu belakang dan pelbagai lagi.
“Sepatutnya pihak pembangkang berterima kasih kepada saya dan seronok dengan apa yang saya lakukan kerana ini akan mempercepatkan pilihan raya yang membolehkan rakyat memilih kerajaan sebenar yang mereka mahukan.
“Lagi lama kerajaan ini bertahan, selagi itu banyak isu-isu kerajaan tidak sah, tebuk atap terus dimainkan.
“Ini bermakna kalau mereka menganggap kerajaan ini dari segi keabsahannya diragui, jadi eloklah berseronok apabila saya umumkan pembubaran kerana rakyat diberi mandat untuk berpeluang memilih kerajaan mengikut kehendak rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tokoh veteran DAP Lim Kit Siang yang masing-masing menyatakan Ismail Sabri mengikut telunjuk kleptokrat dan melindungi kluster mahkamah.
Jelas Ismai Sabri, pembubaran Parlimen juga tidak melibatkan desakan dari UMNO.
“Kalau ikut pandangan, sudah lama Parlimen dibubarkan. Lihat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, (minta) bubar dan UMNO pun dah cakap lama soal pembubaran, cuma menanti masa yang sesuai.
“Saya pun belum rancang lagi tarikh yang tepat (ketika itu) tetapi bila ada isu berkaitan yang saya nampak tak boleh nak ‘go on’ lagi, jadi saya bubarkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan individu yang mendakwa kerajaan gagal dan menggesa supaya PRU dipercepatkan adalah Presiden Bersatu, Tan sri Muhyiddin Yassin sendiri.
“Tiba-tiba dia serang kerajaan, itu merupakan perkara amat tidak bertanggungjawab. Kalau dia kata saya tak bertanggugnjawab, dia yang memulakan perkara yang saya lakukan hari ini dan ini adalah perpecahan yang saya jangka akan berlaku dalam kerajaan.
“Dia (Muhyiddin) adalah parti yang sama dalam gabungan kerajaan. Ada sembilan tak silap saya menteri dari parti dia. Bagaimana saya nak uruskan kerajaan saya dengan baik kalau saya tak yakin dengan kesepakatan sesama menteri Kabinet,” tegasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan beliau tidak menyalahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) kerana mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan menolak pembubaran Parlimen kerana hanya mengikut arahan parti masing-masing.
“Seperti dikatakan (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam, ia juga adalah hasil keputusan parti, bermakna dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh dari presiden parti dan menteri Kabinet dari Bersatu tak boleh dipisahkan pengaruh terbabit.
“Maknanya dia terima arahan dari presiden parti. Parti arahkan tulis surat, walaupun tak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui Hamzah dan tak salahkan mereka sebab ikut arahan parti, sebab itu arahan parti,” katanya. -KOSMO!ONLINE