KEMAMAN – Komposer dan penerbit album terkenal, Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani meninggal dunia di Hospital Kemaman di sini hari ini.
Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhir di wad hospital tersebut pada pukul 2.20 pagi.
Adik Allahyarham, Che Wan Zuhaini, 58, berkata, Wan Zul sebelum ini dimasukkan Hospital Kemaman bagi menjalani rawatan
jangkitan kuman pada paru-paru akibat melioidosis sejak 2 Oktober lalu.
“Pada mulanya, arwah mengalami demam dan batuk sebelum semakin teruk sehingga terpaksa bergantung kepada alat bantuan penafasan.
“Tahap kesihatannya terus merosot sehingga perlu ditidurkan sejak 3 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kariernya sebagai komposer menyaksikan Wan Zul mencipta lagu-lagu popular kumpulan Iklim seperti Suci Dalam Debu, Selamat Tinggal Penderitaan, Aduhai Seribu Kali Sayang dan Biografi Cinta Luka.
Lagu Suci Dalam Debu yang dimuatkan dalam album pertama iklim iaitu Satu Kesan Abadi diterbitkan Wan Zul dinobatkan tempat kedua Juara Lagu 1990.
Beliau turut mencipta lagu-lagu popular lain seperti Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra), Antara Sutra Dan Bulan (Damasutra), Kerana Takdir (Saleem) dan Itulah Cintaku (Ilusi), Dibadai Asmara (Sera) dan Khazanah Dari Malaya (Ayati Tasrip). – KOSMO! ONLINE