PUTRAJAYA – Seorang usahawan kosmetik terkenal bergelar Datuk Seri akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Jenayah Sepang pada pukul 9 pagi.
Pendakwaan terhadap usahawan kosmetik itu dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Usahawan tersebut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atas kesalahan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang.
Sebelum ini, pelakon lelaki popular Zul Ariffin, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang pada Mac lalu.
Hakim Noorhisham Mohd. Jaafar, menjatuhkan hukuman itu kepada Zul Arifin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, selepas aktor berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Pelakon Sangkar itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Beliau kemudiannya membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE