fbpx

Remaja perempuan maut nahas Myvi dengan bas henti-henti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang remaja perempuan maut selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah bas henti-henti di kilometer 25, Jalan Kuala Pilah-Tampin, di sini, petang tadi. - IHSAN PEMBACA

KUALA PILAH – Seorang remaja perempuan maut selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah bas henti-henti di kilometer 25, Jalan Kuala Pilah-Tampin, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, mangsa berusia 19 tahun memandu kereta jenis Perodua Myvi dari arah Johol menghala ke Air Mawang, manakala, pemandu bas pula dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata,  hasil siasatan mendapati kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan terus melanggar bas di bahagian hadapan sebelah kanan.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, bas telah terbabas ke kiri jalan dan berpusing ke arah Tampin, manakala kereta tersebut terbabas ke sebelah kiri dan pemandu telah tercampak keluar dari kenderaan.

“Susulan kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan kes disiasat dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, pemandu bas yang hanya ingin dikenali sebagai Ravi, 52, berkata, sebaik melihat kenderaan berkenaan berada di laluannya, dia begitu terkejut dan terbayang dua dari tiga anaknya yang masih bersekolah.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan ketika itu terdapat tiga penumpang berada di dalam bas yang dipandunya.

“Sepasang suami isteri yang sudah berusia menjerit, manakala, seorang pelajar yang memang merupakan pengguna setia pula cedera di leher.

“Saya juga nampak dengan jelas, pemandu kereta tercampak keluar dari cermin hadapan kereta. Saya mahu segera keluar membantu, namun, pintu bas tidak boleh di buka dari dalam,” katanya.

Menurutnya, dia serta tiga penumpang berjaya keluar selepas dibantu oleh orang awam yang membuka pintu bas dari luar.

“Saya sudah 10 bulan memandu bas henti-henti dari Tampin ke Bahau ini, namun, ini merupakan kejadian kali pertama saya terbabit dalam kemalangan maut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI