PETALING JAYA – Pelakon veteran, Hisham Ahmad Tajuddin menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman pada paru-paru pukul 4.30 petang tadi.
Allahyarham meninggal dunia Hospital Shah Alam (HSA), Selangor, iaitu kira-kira dua minggu diberikan rawatan di pusat perubatan tersebut.
Khabar duka mengenai pemergian aktor berkenaan dikongsikan anaknya, Aqeela, 26.
Katanya, bapanya yang ditidurkan di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), HSA sejak akhir bulan lalu, menghembuskan nafas terakhir di hadapan anggota keluarga.
“Dengan rendah hati saya memaklumkan abah saya, Hisham Ahmad Tajudin telah kembali menemui Sang Pencipta pada waktu Asar, pukul 4.30 petang tadi.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, abah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Ia kemudian merebak ke organ lain sehingga tidak berfungsi.
“Abah dikhabarkan teruk sejak malam tadi, di mana hospital hubungi saya memberitahu abah sudah tenat.
“Kami sekeluarga berada di sisi Abah sejak malam tadi sehingga Asar.
“Abah meninggal di hadapan saya, suami saya dan ibu. Sama-sama sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Innalillahiwainnailaihirojiun,” kongsinya.
Sebelum ini, Aqeela pernah memaklumkan Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 29 September lalu, selepas mengalami batuk teruk yang berpanjangan.
Bapanya itu ditidurkan dan bergantung sepenuhnya pada mesin sokongan berikutan tidak boleh bernafas secara normal.
Sementara itu, Aqeela turut menyatakan pihaknya belum dapat berkongsi maklumat pengebumian bapanya yang masih berada di hospital.
Terdahulu, Hisham aktif dalam arena lakonan menerusi drama dan filem sejak era 1980-an.
Antaranya adalah filem Tsu-Feh Sofiah, Perempuan, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Sara, Selamat Pagi Cinta, Santau dan Black Maria.
Antara drama popular lakonannya adalah Dalam Hati Ada Cinta, Dalam Hati Ada Cinta 2 (2005) dan Tok Ayah yang disiarkan TV1.
Arwah kemudian lebih banyak menghabiskan waktu di rumah selepas bersara daripada jabatan kerajaan berikutan faktor usia serta kesihatan. – KOSMO! ONLINE