fbpx

Skim harga maksimum ayam, telur ayam disambung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Skim pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang bermula 5 Februari lalu diteruskan bagi menstabilkan harga seterusnya memastikan keberadaan bekalan tersebut di pasaran dalam negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, langkah prihatin itu mengambil kira kenaikan isu kos sara hidup rakyat pada masa kini.

Beliau berkata, atas faktor itu, pihaknya menyambung tempoh pelaksanaan harga maksimum ayam dan telur ayam yang akan berkuatkuasa dengan kadar baru pemberian subsidi kepada telur ayam sebanyak RM0.08 sebiji kepada peladang.

“Keputusan ini juga berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dan menyebabkan keperluan penyelarasan semula harga telur ayam di peringkat ladang dan borong sekali gus membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

“Harga maksimum ayam pula adalah kekal bagi semua peringkat meliputi ladang, borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Azman berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa bekerjasama dengan KPDNHEP dalam membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan dalam negara sentiasa mencukupi supaya harganya terus kekal stabil.

Katanya, seramai 2,249 anggota Penguat Kuasa telah digerakkan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.

“Ia bagi memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan selain memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menjual barang-barang harga terkawal termasuk ayam dan telur melebihi harga.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak didapati gagal mematuhi peraturan manakala mana-mana orang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI