fbpx

‘Kami tak mahu undi dua kali, penat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASA dan kos tinggi antara faktor ramai pengundi menuntut agar pilihan raya serentak. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tindakan beberapa kerajaan negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai menyusahkan rakyat kerana perlu keluar mengundi kali kedua pada Pilihan Raya Ne­geri (PRN) nanti.

Lebih buruk apabila keputusan itu akan menyebabkan parti kehilangan ramai pe­ngundi terutama dari luar negeri sekiranya PRN tidak diadakan serentak bersama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Seorang pengundi yang mahu dikenali Cikgu Aziz berkata, tindakan kerajaan negeri terbabit adalah satu tindakan merugikan dan memperlihatkan mereka seakan-akan takut kehilangan kerusi pada PRU-15.

“Saya akan mengundi di Kelantan dan tidak akan balik dua kali semata-mata untuk mengundi, perjalanan pun sudah memakan masa selama tujuh jam dari Kuala Lumpur.

“Bayangkan berapa banyak wang perlu dikeluarkan. Tempoh sehingga Mei 2023 hanya beberapa bulan lagi. Negeri-negeri terlibat bakal kehilangan ramai pengundi luar,” katanya.

Sehingga semalam, Selangor kekal untuk tidak membubarkan DUN, manakala Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah masih dalam pertimbangan.

Luahan sama disuarakan Mohd. Izzudin Zainon Kamar, 50, dari Kuala Langat, Sela­ngor yang menyifatkan situasi berkenaan menyusahkan rakyat apabila terpaksa memohon cuti berulang kali terutama mereka yang bekerja di sektor swasta.

“Lebih baik buat sekali gus, dengan itu segala kepincangan politik sama ada di peringkat pusat dan negeri dapat diselesaikan segera.

“Situasi (pilihan raya dua kali) meletakkan pengundi tersepit, sedangkan hak tentukan kerajaan milik rakyat,” ujarnya.

Penghantar barang, Zamri Daud, 52, tidak menolak jumlah peratusan pengundi akan menurun disebabkan ‘mood’ orang ramai yang menganggap pilihan raya bukan satu lagi kepentingan.

“Sekarang ini, ramai melihat pilihan raya ini sekadar menjaga ‘periuk’ orang politik dan bukan rakyat. Kita hanya mahu terus fokus kepada pemulihan ekonomi kerana masih ramai tersepit dalam hidup,” jelasnya.

Di Kuala Terengganu, seorang kakitangan swasta, Aminah Suhaimi, 43, berkata, pengundi ne­geri berkenaan mendesak DUN dibubarkan serentak de­ngan Parlimen bagi menyelesaikan konflik politik pada masa ini.

“Selagi tidak habis cerita PRU-15, selagi itulah hidup rakyat tidak akan tenteram kerana pe­mimpin sentiasa bercakaran membincangkan soal kuasa.

“Kita risau pemimpin tidak fokus terhadap pembangunan negara dan kebajikan rakyat selagi isu ini berlarutan. Pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk kami tentukan siapa pe­mimpin bakal dipilih,” katanya.

Pandangan sama disuarakan seorang peniaga, Malek Mat, 49, yang memberitahu, sekiranya DUN Terengganu tidak dibubarkan, ia akan menyusahkan rakyat kerana perlu pulang mengundi untuk kali kedua pada PRN.

“Saya ada dua anak yang sedang menyambung pelajaran di Kuala Lumpur dan Perak, takkan mereka kena balik ke Terengganu dua kali dalam masa beberapa bulan sahaja semata-mata untuk mengundi,” ujarnya.

Dalam pada itu di Sungai Petani, Kedah, Sipanor Salim, 47, berkata, kerajaan sebelum ini sering meminta rakyat berjimat-cermat dalam berbelanja untuk mengelakkan pembaziran namun bagaimana pula kerajaan apabila tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak

Kenapa mereka (kerajaan) sendiri tidak boleh mengamalkan perkara baik seperti yang dikehendaki pada pilihan raya kali ini dengan tidak membazirkan duit SPR?

“Susah kerana kita perlu meninggalkan kerja hanya untuk keluar mengundi dalam dua masa berasingan sedangkan ia boleh dilakukan secara serentak untuk memilih pemimpin peringkat pusat dan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, di George Town, Pulau Pinang, rata-rata pengundi berpandangan tindakan pemimpin negeri yang memutuskan untuk tidak membubarkan DUN memberi contoh sikap kurang matang.

Seorang pengundi Parlimen Balik Pulau, Ismail Kassim, 59, berkata, pilihan raya secara berasingan akan menimbulkan sikap kurang yakin rakyat untuk membuat keputusan memilih parti yang terbaik dalam mentadbir urus kerajaan.

“Memang menyusahkan rak­yat untuk keluar mengundi dua kali berturut-turut.

“Jangan biarkan rakyat jadi mangsa krisis politik berpanjangan. Kesannya, rakyat akan jelek dengan parti-parti politik sehingga tidak mahu keluar me­ngundi,” jelasnya.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, bagi pengundi DUN Pasir Tumboh, Wan Mahani Wan Ab. Ghani, 50, menyifatkan pro­ses pengundian dua kali akan menyusahkan rakyat.

“Jika pengundi tinggal jauh di Kuala Lumpur dan perlu berulang-alik ke Kelantan hanya semata-mata untuk mengundi dua kali, maka ia menyebabkan ba­nyak kos terpaksa dibelanjakan.

“Sepatutnya proses mengundi perlu dijalankan sekali sahaja seperti kebiasaannya dengan menggabungkan pengundian bagi Parlimen dan DUN kerana ia bakal menjimatkan masa,” katanya.

Bagi Wan Azizi Wan Ab. Ghani, 57, pula, kerajaan negeri tidak seharus­nya melakukan pembaziran kerana per­belanjaan yang dikeluarkan untuk mengundi itu boleh dibelanjakan bagi kepen­tingan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI