fbpx

Sayap Sayap Patah, romantis vs tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Sayap Sayap Patah diinspirasikan daripada kisah benar tentang rusuhan di Mako Brimob melibatkan banduan penjara pada tahun 2018.

SELEPAS lebih dua dekad, industri perfileman Indonesia kembali menyaksikan gabungan antara aktor popular Nicholas Saputra bersama pengarah Rudi Soedjarwo dalam sebuah naskhah.

Tahun ini mereka yang pernah bekerja dalam filem Ada Apa Dengan Cinta (2001) kembali bergandingan dalam naskhah romantis dan aksi, Sayap Sayap Patah.

Sudahpun ditayangkan di Indonesia sejak 18 Ogos lalu, namun Sayap Sayap Patah hanya mula memasuki pawagam tempatan bermula hari ini.

Kehadiran pelakon ternama seperti Nicholas, sudah tentu menjadi daya penarik paling utama untuk filem ini mengajak penonton datang ke pawagam.

Apatah lagi bergandingan dengan bakat besar seperti Ariel Tatum, secara automatik filem tersebut menjadi naskhah yang cukup mengujakan buat penonton.

Sayap Sayap Patah diangkat daripada kisah nyata tentang tragedi berdarah yang berlaku di Markas Komando Korps Brigade Mobile atau Mako Brimob Kelapa Dua, Depok, Jawa Barat pada 2018.

Kejadian rusuhan banduan di situ telah mengorbankan lima orang polis dan seorang tahanan lain.

Dalam filem berkenaan, Nicholas yang memerankan watak Aji, seorang anggota keselamatan pasukan khas Densus 88 terperangkap dalam tragedi tersebut.

Sementara isterinya pula, Nani lakonan Ariel sedang sarat hamil anak pertama mereka.

Tugas getir suaminya membuatkan dia sering berada dalam gelisah dan tekanan sehingga menjejaskan kandungan.

Naratif Sayap-Sayap Patah berlangsung sempurna dengan menerangkan setiap situasi secara teliti. Awalnya, pengarah memaparkan betapa romantisnya kehidupan suami isteri itu, sebelum membawa penonton berasa tegang dengan emosi Nani yang tidak tenteram memikirkan keselamatan Aji.

Adegan aksi dan romantis dipaparkan seimbang sepanjang jalan cerita.

Cuma pada awal tayangan, jalan cerita bergerak perlahan. Rudi kelihatan cenderung memaparkan sisi romantis Aji dan Nani.

Pada masa sama, Rudi gemar bermain dengan kegelisahan dan ketidaktenteraman jiwa Nani memikirkan nyawa suami setiap kali keluar bekerja seperti lontaran dialognya yang berbunyi cukup pedih.

“Setiap hari aku masakkan Mas Aji, nggak (tak) tahu akan kamu makan atau enggak. Aku nggak tahu apa yang harus kusiapin (siapkan) buat kamu. Selimut atau kain kafan,” luahnya dalam babak tegang bersama Aji.

Pilihan mengangkat dua elemen romantis dan aksi sama-sama dikembangkan secara rata tanpa ada yang mendominasi secara berlebihan.

Akan tetapi, semacam ada rasa yang kurang cukup terutama ketika klimaks jalan cerita yang memaparkan kejadian rusuhan dan karakter pengganas lakonan Iwa K iaitu Leong menguasai markas tersebut.

Seharusnya pengganas itu harus terpaling ganas bukan?

Tetapi dalam cerita ini, ada yang dihadkan, berkemungkinan untuk tidak menjadikan plot ‘terrorisme’ begitu mencengkam, kerana perihal itu diketahui sangat sensitif.

Maka di sebalik kisah tragis dan aksi, ada cerita romantis dan emosi yang mengambil alih perhatian penonton sehingga mampu menitiskan air mata.

Apa-apa pun, persembahan jalan cerita Sayap Sayap Patah dengan barisan pelakon handalan negara jiran memberikan pengalaman menonton yang berbekas dalam hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI