PETALING JAYA – Selaku syarikat penganjur acara berpengaruh lokal, YOLO Malaysia menganjurkan sebuah konsert membawakan kumpulan dari negara seberang, NOAH yang bakal berjumpa peminat pada 12 November depan di Zepp Kuala Lumpur.
Pemilihan kumpulan itu dibuat kerana NOAH mempunyai peminat yang ramai di Malaysia yang mampu menyambung bahang muzik rock kepada semua pengunjung yang bakal hadir.
Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah berkata, pihaknya bersedia untuk memasuki lapangan hiburan muzik ke satu tahap yang lebih tinggi dengan membawakan kumpulan terkenal dari luar negara iaitu NOAH.
“Sebagai permulaan kami bawakan artis-artis dari rantau Asia Tenggara dan dalam sejarah hiburan tempatan, kami berjaya bawakan NOAH untuk beraksi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd. Taufik pula menjelaskan, kumpulan lagenda rock itu akan mempersembahkan lagu hit mereka selama 90 minit tanpa henti.
“Hal ini supaya peminat dapat merasai pengalaman yang luar biasa bertentangan mata dengan kumpulan kesukaan mereka.
“Kami juga bawakan tiga pemuzik profesional yang akan mengiringi persembahan NOAH termasuk kejutan yang dipersembahkan pada malam konsert nanti,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, sambutan terhadap pembelian tiket juga sangat memberangsangkan kerana ramai yang menunggu ketibaan band yang dahulunya dikenali sebagai Peterpan.
Untuk makluman, YOLO Malaysia telah mula membuat tempoh pra pendaftaran untuk jualan tiket di peringkat awal dan setelah itu bakinya akan dijual secara umum buat semua.
Terdahulu, YOLO Malaysia berjaya menganjurkan sebuah konsert rock YOLO Live Sessions: 3 Generasi yang menghimpunkan pemuzik rock berbeza generasi antaranya kumpulan Spider, Noh Salleh dan XPDC. – KOSMO! ONLINE