Lupakan kisah kerajaan pintu belakang dan tebuk atap kerana pentadbiran yang diterajui sejak 21 Ogos 2021 telah pun melabuhkan tirai Isnin lalu.
Maka bermulalah gendang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), setiap parti menyusun jentera, merangka strategi, manifesto dan memuktamadkan calon.
Siapakah yang bakal mewarnai PRU-15, muka baharu atau muka lama yang didakwa sangat berpengalaman walaupun terdapat sejarah tersendiri?
Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Ahmad Zahid, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah mereka masih menjadi pilihan parti? Kita mempunyai kira-kira 1.14 juta pengundi di bawah umur 21 tahun. Sebanyak 21.1 juta pemilih berdaftar dengan 1.4 juta daripadanya adalah pengundi baharu.
Berdasarkan jumlah itu, siapakah pilihan orang muda. Sewajarnya pemimpin parti tidak memandang enteng perkara tersebut. Cukup-cukuplah yang lama, kemukakanlah wajah baharu, lebih berpotensi kerana negara belum ketandusan pemimpin muda berwibawa.
Perjalanan PRU-15 dilihat tidak mudah, sehingga semalam, enam negeri menoktahkan bahawa mereka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus tidak menyertai PRU-15.
Keputusan berkenaan menunjukkan hanya Perak, Pahang dan Perlis yang bakal mengadakan pilihan raya. Rentetan keputusan banyak negeri menidakkan PRU-15, banyak impak yang akan berlaku antaranya melibatkan pengundi berkurangan.
Di sebalik debaran tarikh pengundian, kita juga menghadapi isu banjir yang disifatkan bakal mengugat perjalanan PRU-15 apabila jumlah pengundi mungkin berkurangan.
Situasi ini juga bakal menyaksikan tiada gabungan yang mempunyai majoriti mutlak. Malangnya, jika perkara itu berlaku kita akan kembali kepada keadaan seperti sekarang, perlunya gabungan pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.
Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat keluar memilih kerajaan yang kuat agar tiada lagi yang meragui keabsahan pentadbiran negara. Sungguh ia sangat menjengkelkan.
Namun, apa yang melucukan apabila di saat kita menantikan tarikh, parti menetapkan calon, telah ada Yang Berhormat (YB) yang ‘masuk’ kampung.
Nampaknya mereka telah mula bekerja. Sosok yang sebelum ini enak berada di kerusi empuk telah turun pandang membersihkan longkang-longkang, menebas lalang setinggi pokok kelapa dan sawang di balai raya.
Malah, secara tiba-tiba YB jadi peramah, pemurah dengan jalan kampung berturap tidak termasuk memperjuangkan capaian jalur lebar.
Menariknya semua ini ‘bertemankan’ wartawan media sosial. Saat ini sebarang permintaan pengundi dipenuhi, berjanji saat belum menang memamg indah.
Kepada mereka, janganlah hangat-hangat tahi ayam, buat sesuatu sebelum diperolehi. Saat dilamun sanggup meredah lautan, saat dibadai ombak tinggallah pengundi terkontang-kanting sendirian.
Kepada pengundi, jangan gelap mata, jangan ibarat dicucuk hidung, ini masa depan anda dan kita bersama.