BARU-BARU ini, dunia hiburan K-pop kecoh dengan pendedahan kecurangan seorang selebriti popular dengan seorang pemain golf wanita.
Selepas berita bertebaran dalam laman komuniti Korea Selatan, nama Jo Jung-suk dan Rain dipetik sebagai selebriti yang terlibat dengan kes berkenaan.
Kedua-dua agensi pelakon terbabit bagaimanapun tampil dengan menafikan tuduhan berkenaan, selain bertegas akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan tersebut berterusan dilakukan.
Mewakili suaminya, pelakon cantik Kim Tae-hee turut memberikan kenyataan peribadi mengenai isu yang disifatkan tidak masuk akal itu.
“Khabar angin itu sama sekali tidak benar. Cerita itu tidak berasas dan kami tidak akan memberikan sebarang kenyataan.
“Saya sendiri pun tidak pernah jumpa dengan wanita yang diperkatakan itu. Tolonglah, jangan mengarut,” tegasnya.
Terdahulu, pemain golf dikenali sebagai Park Gyeol yang dituduh sebagai orang ketiga turut memuat naik kenyataan dalam Instagramnya.
“Mengarut. Saya hanya pernah lihat dia (Rain) dalam sebuah acara beberapa tahun lalu. Saya tak tahu dan tak ada nombor telefonnya,” tulis Gyeol.