KALAU diingat semula ketika awal-awal dunia dibadai pandemik Covid-19, pasti ada sahaja cerita sedih yang tidak mungkin boleh dilupakan.
Bukan sahaja ramai menjadi ‘mangsa’ virus jahat tersebut, malah kehidupan manusia juga boleh dikatakan porak-peranda dan berubah 360 darjah.
Kebanyakan daripada kita terjejas dan terkena dampak badai virus maut tersebut termasuklah, hilang punca pendapatan.
Cakaplah siapa yang tidak terkesan dan tidak gentar dengan ujian berat tersebut.
Begitu juga dengan penyanyi Indonesia, Budi Doremi yang tidak boleh lari daripada tempias pandemik.
Tanpa pernah diduga, punca pendapatannya sebagai penyanyi yang menjadi periuk nasi selama ini musnah sekelip mata.
Usahkan mahu mengadakan konsert atau show secara besar-besaran di Jakarta, mahu keluar rumah pun terbatas disebabkan jangkitan virus yang boleh membawa maut.
Hijrah, cari ilham
Enggan terus mengalah, penyanyi yang meledak dengan lagu Melukis Senja itu nekad berpindah membina kehidupan baharu di sebuah perkampungan di daerah Banten.
Nekad dengan keputusan tersebut, Budi atau nama sebenarnya Syahbudin Syukur memulakan semula kehidupannya dari bawah.
“Seingat saya, dua bulan pertama selepas kita semua berdepan dengan Covid-19, saya duduk seorang diri dan fikir adakah mahu tetap tinggal di Jakarta atau bagaimana.
“Nak menyanyi dan buat persembahan memang sudah tidak boleh.
“Jadi, selepas fikir masak-masak, saya nekad ambil keputusan untuk berpindah ke satu kawasan perkampungan yang terletak dalam daerah Banten, lebih kurang sejam setengah dari ibu kota Jakarta.
“Kawasan tersebut betul-betul satu kawasan perkampungan yang sangat mendamaikan dan aman bagi saya.
“Sejak dari saat itulah, saya mulakan semula kehidupan dari awal, dari kosong,” tuturnya.
Meneruskan perkongsiaan bersama HibGlam saat dipertemukan dalam sesi fotografi sempena rangka promosinya di Malaysia baru-baru ini,
Budi menyifatkan keputusan yang diambil benar-benar tepat.
Ujarnya, berbekalkan semangat yang membara dalam jiwa, rumah kampung yang didiaminya itu menjadi saksi untuknya mencurahkan segala ilham ke dalam bentuk lagu.
“Mungkin ramai ingat saya buat keputusan bodoh dan salah.
“Jujur saya bina rumah di perkampungan di Banten ini dari kosong, dari tanah, dari hutan.
“Memang semuanya saya mulakan semula dari kosong dan tiada apa-apa.
“Dari situ jugalah, saya menggunakan kemahiran dalam diri yang jarang digunakan seperti bertukang,” katanya.
Dari rumah tersebut jugalah lahirnya Melukis Senja, sebuah hits yang terfikir oleh Budi bakal diterima di luar Indonesia seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.
“Di situ, terciptanya lagu Melukis Senja. Pada saya, itu umpama satu rezeki yang datang ketika saya jatuh dan tiada apa-apa ketika itu.
“Alhamdulillah, lagu itu diterima dan mendapat respons yang baik dalam kalangan peminat muzik Indonesia, seterusnya Malaysia.
“Tahun pertama selepas dilancarkan sekitar penghujung 2020, videonya sudah mencecah lebih 50 juta tontonan dalam YouTube.
“Melukis Senja sebenarnya berkisarkan kisah saya sendiri. Saya curahkan semua isi hati saya ke dalam lagu itu,” katanya.
Samar-samar, album
Meneruskan bicara, Budi mengakui sosok dan identitinya masih samar-samar, belum cukup dikenali peminat terutama di Malaysia.
Tidak keterlaluan juga andai dikatakan pendengar dan peminat muzik di luar sana lebih mengenali lagu serta bait-bait lirik Melukis Senja itu sendiri berbanding penyanyinya.
“Ya, perkara yang satu ini memang saya akui dan berlaku sampai ke detik ini. Tetapi jujur saya tidak kecewa apatah lagi terasa.
“Lagu saya dikenali dan menjadi siulan ramai sudah cukup membuatkan saya gembira dan rasa dihargai.
“Saya percaya, populariti penyanyi bukan menjadi kayu ukur dalam kerjaya seni ini,” katanya.
Ditebak mengenai perancangan selepas ini, bapa kepada dua orang cahaya mata berusia 38 tahun ini berkata, jika tiada aral melintang dia bakal hadir dengan sebuah album.
Ujarnya, sepanjang tempoh lebih setahun duduk di perkampungan tersebut, lebih 16 buah lagu berjaya dihasilkan.
“Ya ketika di kampung itu, saya dapat berkarya dengan tenang. Jujur saya rasa begitu aman menetap di situ kerana pada ketika itu, kebanyakan berita betapa binasanya bencana Covid-19, rata-rata menyerang kawasan kota berbanding di kampung.
“Bila fikiran tenang, saya lebih bersemangat untuk berkarya dan hasilkan lebih banyak lagu,” katanya.
Kehadirannya ke Malaysia juga bagi mempromosikan sebuah lagi single hitnya, Mesin Waktu yang sudah menemui peminat sejak April tahun lalu.