fbpx

Jamal Abdillah kesal dua konsert ditunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KECEWA tetapi Jamal Abdillah akur dengan situasi semasa negara sehingga menyebabkan perancangan dua buah konsertnya ditunda.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Jamal Abdillah meluahkan kekesalan apabila dua acara konsert besarnya yang dijadualkan berlangsung pada bulan ini terpaksa ditangguhkan.

Jamal, 63, bagaimanapun berkata, dia terpaksa akur dengan keputusan dibuat penganjur dan memahami situasi yang berlaku.

“Perasaan kesal sudah tentu ada, dua konsert saya sepatutnya berlangsung bulan ini dibatalkan dan tunda tarikh lain. Satu konsert di Putrajaya dan satu lagi di Perlis.

“Saya sudah buat persiapan dengan lima orang artis lain untuk memberi persembahan yang baik dan betul-betul fokus untuk konsert.

“Tapi saya juga faham dengan situasi semasa yang berlaku dengan keadaan hujan dan politik, jadi saya ikut sahaja,” ujarnya usai majlis sidang media Konsert Gemilang Dato’ Jamal Abdillah di Residensi Universiti Teknologi Mara Kuala Lumpur (UTMKL) di sini, hari ini.

Terdahulu, Konsert Canggung Jamal Abdillah yang sepatutnya berlangsung pada 29 Oktober ini terpaksa ditunda pada awal tahun hadapan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, penyanyi lagu Azura itu bakal muncul dengan Konsert Gemilang Dato’ Jamal Abdillah pada 9 Disember depan di Residensi UTMKL.

Lebih menarik, konsert tersebut turut menyaksikan Raja Pop itu bergandingan dengan dua anak lelakinya, Zaki Yamani dan Osama Yamani.

Menurut Jamal, dia akan menyampaikan 15 buah lagu dan sebuah lagu baharu duet bersama anak-anaknya berjudul Tangan Yang Melambai.

“Kali ini saya bawa dua anak saya dan mereka akan menyampaikan single masing-masing.

“Kami juga akan menyampaikan lagu bersama berjudul Tangan Yang Melambai buat pertama kali, lagu itu belum lagi dilancarkan secara rasmi,” ujarnya.

Terbuka kepada semua, tiket Konsert Gemilang Dato’ Jamal Abdillah dijual pada harga RM150 hingga RM350 dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI