PETALING JAYA – Terowong Lebuh Raya SMART di Kuala Lumpur ditutup sepenuhnya kepada pengguna bagi melencongkan air banjir susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang, pagi ini.
Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) di Facebooknya memaklumkan, penutupan terowong sepanjang 9.7 kilometer itu dibuat sekitar pukul 8 pagi tadi.
Ia susulan paras air di beberapa sungai di sekitar ibu negara sudah melepasi tahap bahaya, amaran dan berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa jam lalu.
“Terowong SMART ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi banjir.
“Operasi terowong bawah tanah kini mengaktifkan Mod 3, di mana terowong trafik ditutup dan dikosongkan daripada kenderaan, manakala air banjir dialirkan di bahagian bawah terowong,” katanya di sini hari ini.
Terowong SMART memiliki empat mod operasi, dengan Mod 4 adalah yang tertinggi dan akan diaktifkan sekiranya air banjir perlu dialirkan ke laluan trafik.
Terdahulu, portal Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Gombak di Jalan Tun Razak sudah melepasi tahap bahaya dengan bacaan 31 meter pada pukul 8 pagi tadi, dengan pola meningkat.
Paras air Sungai Klang pula sudah melepasi tahap amaran di Jambatan Tun Perak dengan bacaan 29 meter, manakala paras air sungai itu di Leboh Pasar melepasi tahap berjaga-jaga (28 meter). – KOSMO! ONLINE