KUALA LUMPUR – Perundingan pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN masih belum dimuktamadkan lagi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Dewan Tertinggi bersetuju untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai Winnable, Acceptable & Likable (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon Wanita,” katanya selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu berlangsung selama lebih dua jam dan berakhir kira-kira pukul 10.45 malam tadi.
Menurut Zambry, mesyuarat tersebut turut mengarahkan persiapan semua jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di peringkat Parlimen dan DUN komponen BN.
“Kita juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera selain bersetuju tema utama manifesto PRU-15 iaitu ‘Kestabilan dan Kemakmuran’,” ujarnya.
Tambahnya, BN sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi-polisi bersifat pro-rakyat. – KOSMO! ONLINE