fbpx

Tae-Su wira Sabah tewaskan Sri Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIM SWEE (baju hitam) ceria ketika meraikan kemenangan Sabah ke atas Sri Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi. - FB Malaysian Football League

KUALA LUMPUR – Sabah mengukuhkan cengkaman di tempat kedua saingan Liga Super musim ini selepas bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus mencerahkan peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu untuk menamatkan kempen musim ini sebagai naib juara dengan mengumpul 42 mata, mengatasi Terengganu FC dan Negeri Sembilan.

Pada separuh masa pertama, penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang apabila beberapa kali menafikan percubaan daripada jentera serangan Pahang, terutamanya menerusi Manuel Hidalgo yang dilihat cukup berbahaya.

Selain percubaan yang dilakukan, pemain import dari Argentina itu turut menjadi nadi skuad Tok Gajah ketika melancarkan serangan apabila banyak melakukan hantaran-hantaran menarik dan kreatif.

Peluang terbaik Pahang untuk mendahului perlawanan hadir pada minit ke-29 apabila tandukan penyerang, Steven Rodriguez sedikit melewati tiang walaupun ketika itu Khairul Fahmi sudah tertewas.

Meskipun perlawanan banyak dikuasai Pahang, namun Sabah juga beberapa kali mengancam pintu gol tuan rumah, terutamanya pada minit ke-15 apabila percubaan penyerang, Stuart Wilkin ditepis penjaga gol, Mamadou Samassa.

Memasuki separuh masa kedua, Pahang dan Sabah menampilkan corak permainan lebih agresif selain masing-masing berbalas serangan dalam usaha memburu gol pendahuluan bagi mendapatkan tonik tambahan.

Selepas beberapa kali mencuba, Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila Rodriguez menanduk masuk hantaran lintang Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-85 bagi membolehkan pasukan tuan rumah mendahului 1-0.

Bagaimanapun, kegembiraan skuad Tok Gajah tidak kekal lama apabila pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan menyamakan kedudukan empat minit kemudian selepas menolak masuk tandukan Taiki Kagayama.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, seorang lagi pemain pertahanan, Park Tae-Su muncul wira skuad Sang Badak apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-92 selepas tenang melakukan sepakan menewaskan Samassa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI