fbpx

Ada yang tanya, kenapa saya tak jadi Perdana Menteri? – Harith Iskander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelawak Harith Iskander tidak berminat menyertai bidang politik namun menghormati rakan-rakan industri yang terjun dalam dunia mencabar tersebut - KOSMO!/AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – Pelawak Harith Iskander memilih untuk tidak melibatkan diri dalam dunia politik demi ketenangan hidup yang lebih terjamin.

Tidak seperti beberapa rakan-rakan industri seni yang mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut, Harith atau nama sebenarnya, Harith Iskander Musa memiliki sebab tersendiri untuk tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik secara terang-terangan.

“Dalam direct message (DM) atau ruangan komen, ada yang tanya, kenapa saya tak jadi Perdana Menteri.

“Mereka kata, kalau saya bertanding, mereka akan undi saya. Dalam fikiran saya, tahu tak menjadi seorang Perdana Menteri bukan satu tugas mudah. Gila susah, berjalan pun kena sentiasa senyum semua.

“Saya nak relaks. Pergi panggung wayang duduk tiada orang kacau. Matlamat hidup saya bukan terlibat dalam bidang politik atau jadi Perdana Menteri tapi nak jadi pelawak,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online usai Majlis Apresiasi filem Juang di ibu pejabat WebTVAsia sebentar tadi.

Harith, 56, turut mendedahkan pernah menerima tawaran untuk menyertai beberapa parti politik tanah air dan menunjukkan sokongan secara terbuka namun menolaknya cara terbaik.

“Sebenarnya, saya pun pernah dijemput oleh beberapa pihak (parti politik). Tetapi, bagi saya dalam mana-mana parti ada yang baik dan ada juga yang buruk.

“Kalau saya masuk atau terlibat dalam satu parti, saya akan menanggung baggage (beban) dan sejarah daripada parti tersebut.

“Sungguhpun begitu, niat kawan-kawan saya masuk dalam bidang politik dan menyuarakan sokongan kepada mana-mana parti adalah baik. Tapi, kalau anda tanya saya, perjalanan mereka selepas itu bukan senang. Tidak semena-mena, orang akan mudah membenci kita,” ujarnya.

Berkongsi pengalamannya menerima kecaman berbaur kebencian, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu pernah berdepan situasi tersebut ketika memuat naik sekeping foto bersama Datin Seri Rosmah Mansor beberapa tahun lalu.

“Sekitar 2018 atau 2019, saya bergambar dengan Rosmah dan muat naik dalam media sosial. Ada yang kawan tiba-tiba terus tidak mengaku kawan saya.

“Senang cerita di sini, kita taksub dengan politik atau macam mana sekalipun, kita kena tanya diri sama ada kita tak suka pelakunya atau parti politik itu sendiri.

“Bergambar dengan seseorang tidak bermakna kita suka atau tidak suka seseorang itu. Kalau bagi peluang bergambar dengan Adolf Hitler atau Jeffrey Dahmer (pembunuh bersiri), saya pun tidak menolak.

“Bergambar tidak bermakna saya akan ikut idealogi atau tindak-tanduk mereka,” getus anak seni kelahiran, Johor Bahru, Johor itu memberi analogi penuh maksud mendalam.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac dan rapper, Altimet mewarnai dunia politik tanah air termasuk bertanding merebut jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di Hollywood, penglibatan selebriti dalam dunia politik bukanlah sesuatu perkara yang asing apabila nama-nama seperti Arnold Schwarzenegger, Ronald Reagen, Clint Eastwood dan artis antarabangsa lain berjaya bergelar sebagai ahli politik yang berjaya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari sama selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI