PETALING JAYA – Eartistic Hearing & Physio Centre (Eartistic) mahu terus aktif menganjurkan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat khususnya berkaitan penjagaan pendengaran yang sering diabaikan oleh masyarakat sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Nur Shasa Ain Abdul Aziz berkata, menurut kajian yang dijalankan sebelum ini, satu daripada lima orang mengalami masalah pendengaran disebabkan beberapa faktor seperti kesihatan, kategori pekerjaan dan aktiviti yang dijalankan.
Menurut beliau, jika masalah tersebut tidak dirawat pada peringkat awal, ia boleh mendorong kepada masalah pendengaran untuk jangka masa panjang.
Katanya, tanpa disedari masalah pendengaran juga boleh menjadi penyebab kepada masalah komunikasi khususnya dalam hubungan kekeluargaan dan hubungan terjalin antara pasangan suami isteri.
“Ramai yang bersikap sambil lewa terhadap masalah pendengaran yang dihadapi mereka pada peringkat awal.
“Namun ia akan menyebabkan berlakunya masalah komunikasi sehingga menyebabkan keretakan rumah tangga seterusnya bercerai.
“Ia sebenarnya satu masalah yang kita tidak nampak dan kita anggap ia sebagai satu perkara yang remeh tetapi kita lupa, isu tersebut boleh mendatangkan impak kepada hubungan suami isteri dan seseorang itu boleh hilang kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kempen Kesihatan Are You Okay Kuala Lumpur Bersama Kelab Wanita Ikon Malaysia di PPR Jelatek, Jalan Jelatek di sini baru-baru ini.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut hadir pada majlis tersebut selain turut membuat pemeriksaan pendengaran oleh Nur Shasa.
Antara aktiviti yang dijalankan bersama penduduk di PPR tersebut adalah senaman BolyOn bersama Evonmania, ceramah mengenai kepentingan pendengaran untuk pekerjaan, penjagaan tulang belakang untuk orang bekerja di pejabat.
Turut diadakan adalah ujian kesihatan, pendengaran dan juga fisioterapi.
Selain itu, Nur Shasa yang telah dilantik Ikon Wanita Wilayah Persekutuan dari Kelab Wanita Ikon itu telah disenaraikan untuk bersaing merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia baru-baru ini.
Menurut Nur Shasa, pelantikan beliau menjadi ikon wanita menjadi satu ‘tiket’ untuk dirinya lebih aktif terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbakti kepada masyarakat khususnya meningkatkan kesedaran tentang kesihatan pendengaran.
“Sebagai wanita ikon, saya perlu lebih aktif, kali ini kami mendekati golongan B40, selepas ini banyak lagi sesi yang dianjurkan untuk meliputi semua peringkat umur,” terangnya.
Tambah beliau, masalah pendengaran boleh dialami golongan muda tetapi kebiasaannya ia menjadi masalah kepada mereka yang berumur 55 tahun dan ke atas.
Faktor tersebut bergantung kepada aktiviti serta kategori pekerjaan serta perniagaan yang diusahakan.
Lebih membimbangkan, masalah pendengaran di peringkat tersebut akan mengundang kepada masalah nyanyuk dalam kalangan warga emas. -KOSMO! ONLINE