fbpx

Banjir semakin buruk di Ubon Ratchathani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan pertanian, jalan-jalan raya dan jambatan musnah dalam banjir itu manakala sebilangan rumah turut ditenggelami air. – Thaiger

BANGKOK – Situasi banjir di Ubon Ratchathani, rantau Isaan  dilaporkan semakin buruk dan berbahaya dengan paras air terus meningkat sehingga menjejaskan hampir keseluruhan wilayah tersebut, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Kawasan pertanian, jalan-jalan raya dan jambatan turut musnah dalam bencana itu,  manakala sebilangan rumah ditenggelami air.

Pada Ahad lalu, salah sebuah pusat beli-belah terbesar di wilayah itu, DO Home dilanda banjir kilat yang menyebabkan lebih 100 kakitangannya  terkandas.

Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian, menemui semua pekerja terbabit dalam keadaan selamat. Mereka bagaimanapun enggan diselamatkan kerana ingin menjaga produk jualan masing-masing.

Seorang ahli parlimen yang juga pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat ketika melawat rantau  Isaan di timur laut Thailand Ahad lalu berkata, situasi di situ adalah lebih buruk berbanding bencana banjir yang melanda Thailand pada 2011.

Menurut Pita, banjir dijangka  terus melanda wilayah-wilayah lain di Isaan dari Ubon Ratchathani ke Si Saket, Surin, Buriram dan Khon Kaen.

Beliau turut menambah bahawa Ubon Ratchathani memerlukan bantuan kerana air banjir berkemungkinan akan terus bertakung sehingga beberapa bulan.

Susulan keadaan itu, penduduk Thailand memuat naik gambar-gambar banjir di media sosial dan menggesa kerajaan  membantu rakyat menghadapi situasi tersebut.

“Banjir di Ubon Ratchathani tahun ini adalah yang terburuk. Penduduk tidak boleh pergi ke mana-mana. Kerajaan perlu berbuat sesuatu sekarang. Penduduk Ubon Ratchathani, kami merayu kepada anda (kerajaan),” kata seorang netizen.

“Tiada sebarang berita tergempar daripada mana-mana agensi media atau saluran televisyen. Banjir di Ubon Ratchathani semakin buruk dan air tidak akan surut dalam masa terdekat,” kata seorang lagi netizen. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI