TAMPA, FLORIDA – Seorang lelaki di negeri Florida, Amerika Syarikat, ditahan polis kerana menembak keluarga gelandangan yang sedang tidur di dalam sebuah kereta termasuk seorang wanita hamil dan anak-anaknya, lapor akhbar Metro UK semalam.
Christopher Stamat Jr, 21, diberkas Sabtu lalu kerana mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan tersebut yang menyebabkan seorang wanita hamil cedera di kepala.
Insiden itu berlaku di sebuah lot parkir di hadapan kompleks rekreasi Martin Luther King Jr di kawasan kejiranan Old West Tampa sekitar pukul 4.30 pagi (waktu tempatan), Rabu minggu lepas.
Suspek dilaporkan melepaskan lebih 12 das tembakan ke arah kenderaan yang ditutup dengan pakaian pada bahagian tingkap.
Polis meneliti sistem televisyen litar tertutup (CCTV) untuk mengesan kenderaan BMW milik suspek yang terletak 4.8 kilometer dari garaj milik teman wanitanya.
Polis juga menemui kelongsong peluru sepadan dengan yang ditemui di tempat kejadian dan sarung untuk pistol 9 milimeter.
Suspek kemudian mengaku dia memandu keretanya di kawasan sekitar lokasi kejadian pada pagi tersebut.
Sementara itu, mangsa hamil dan berumur dalam lingkungan 20-an itu dibawa ke hospital terdekat. Dia mengalami kecederaan yang tidak membahayakan nyawa.
Tiga anaknya yang masing-masing berusia 3 tahun,9 tahun dan 4 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa kanak-kanak tersebut dilaporkan ketika kejadian melihat sebuah kenderaan berhenti dan menjerit agar isteri dan anak-anaknya turun dari kereta bagi mengelak daripada terkena peluru.
Keluarga tersebut dilaporkan tinggal di dalam kereta sewa kerana saudara mereka tidak mempunyai ruang untuk menampung mereka.
Polis tidak mempunyai bukti bahawa suspek dan semua mangsa saling mengenali, kata polis. – Agensi