fbpx

Kestabilan politik bakal tarik pelabur luar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelabur asing tidak berkeyakinan terhadap pasaran saham tempatan sehingga menarik keluar pelaburan masing-masing. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kestabilan politik negara yang diharapkan bakal kembali selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diyakini mampu mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pilihan buat pelabur asing.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, secara peribadi beliau melihat adalah lebih baik PRU diadakan sekarang berbanding kemudian.

“Kita lihat pengeluaran bersih dana asing daripada pasaran domestik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini adalah disebabkan oleh kurangnya penjelasan memgenai suasana politik negara.

“PRU akan membawa lebih kestabilan dalam hal ini dan saya pasti ia bakal menjadikan Malaysia destinasi pelabur asing dengan nilai ringgit yang rendah, ditambah jangkaan pertumbuhan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bersama media bagi membincangkan impak Bajet 2023 kepada pasaran kewangan tempatan di sini semalam.

Bursa Malaysia telah menyaksikan pengeluaran bersih dana asing berjumlah RM27 bilion pada tahun 2020 dan 2021, sebelum dana asing dilihat kembali membuat kemasukan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini untuk merekodkan pegangan asing sebanyak 12.39 peratus setakat September lalu. 

Anggaran kadar harga berbanding pendapatan di petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI tahun ini berada pada tahap terendah sebanyak 11.5 kali setakat September, iaitu diskaun hampir 40 peratus daripada purata lima tahun pada 18.4 kali.

Menurut Kenny, bagi tempoh dua suku tahun ke hadapan, pihaknya melihat aktiviti dagangan yang semakin baik dan dana asing akan kembali bagi menyediakan kecairan di pasaran, seterusnya membawa FBM KLCI mencecah 1,580 mata pada hujung 2022.

Jelasnya, sektor perbankan dan telekomunikasi akan terus menyokong momentum pertumbuhan tahun ini dan pada 2023, selain jangkaan pertumbuhan pendapatan sebanyak 6.8 peratus untuk tahun 2023.

Sementara bagi nilai ringgit, Kenny percaya ia akan kekal didagangkan pada lingkungan RM4.50 hingga RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat sehingga akhir tahun, sebelum kembali mengukuh kepada antara RM4.10 dan RM4.20 pada separuh tahun kedua 2023.

Mengulas mengenai sentimen pasaran sehubungan pembubaran parlimen, Kenny menjelaskan pada kebiasaannya akan berlaku rali pra-PRU pada Bursa Malaysia setiap kali menjelang pilihan raya, namun keadaan itu tidak berlaku pada PRU-14.

“Saya berharap kita akan kembali menyaksikan rali serupa pada PRU kali ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI