fbpx

Mesin ATM tertinggi di dunia pada ketinggian 4,693 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NBP mengambil masa selama kira-kira empat bulan bagi menyiapkan pemasangan mesin ATM ini. – Facebook

ISLAMABAD – Sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM)  yang terletak di Lintasan Khunjerab iaitu antara sempadan China dan Pakistan, diiktiraf sebagai mesin ATM tertinggi di dunia pada altitud 4,693 meter, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Didirikan oleh Bank Nasional Pakistan (NBP) pada 2016, mesin yang dijana  tenaga solar dan angin itu terletak di lokasi terpencil.

Kerja memasang ATM yang diiktiraf  Guinness World Records sebagai tertinggi di dunia itu ternyata rumit, malah NBP mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menyiapkannya.

Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan pengisian semula wang pada mesin tersebut secara berkala juga merupakan urusan yang sukar kerana cawangan bank terdekat berada pada jarak 82 kilometer.

Seorang jurucakap NBP memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa secara  kebiasaan, pihaknya mengambil masa antara 2 jam hingga 2 jam 30 minit untuk sampai ke lokasi ATM tersebut sekiranya ia perlu segera dibaiki.

Pengurus cawangan NBP, Zahid Hussain  kerap memandu ke lokasi ATM tersebut dan berdepan cabaran seperti angin kuat, ribut serta bencana tanah runtuh di samping laluan gunung berbahaya bagi memastikan ia sentiasa berfungsi dengan baik.

Mesin ATM itu biasanya digunakan oleh anggota pengawal sempadan untuk mengeluarkan wang gaji mereka selain sebilangan kecil penduduk setempat serta individu yang melintasi sempadan menggunakan pas sempadan.

Menurut laporan, sekitar AS$18,350 hingga AS$23,000 (RM85,728 hingga RM107,451) wang tunai dikeluarkan dari mesin tersebut dalam tempoh selang beberapa minggu.

Meskipun bilangan transaksi adalah rendah, NBP sentiasa memastikan mesin ATM tersebut berada dalam keadaan baik disebabkan keadaan pelanggan yang bergantung kepadanya.

“Mungkin bilangan transaksi tidak tinggi, namun mereka yang tinggal di sekitar lokasi itu tidak mempunyai medium lain untuk memindahkan wang gaji mereka kepada ahli keluarga dan insan tersayang,” kata Zahid. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI