KUALA NERUS – Dua sahabat tidak menjadikan alasan usia yang sudah lanjut untuk menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini bagi sesi 2022/2023 semalam.
M. Khrishnan, 77, dan R. Ramesh, 56, mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang bagi tempoh pengajian selama empat tahun.
Khrisnan berkata, walaupun sudah berusia lewat 70-an, baginya tiada istilah berhenti belajar.
Bapa kepada lima anak itu memberitahu, melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang merupakan impiannya yang tertangguh sejak muda.
“Sewaktu muda, saya bekerja sebagai penjawat awam di kerajaan negeri Pahang sehinggalah bersara hampir 20 tahun lalu.
“Syukur saya mendapat sokongan penuh daripada isteri dan anak-anak yang berjanji sama-sama meluangkan masa membantu saya menggenggam segulung ijazah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ramesh pula memberitahu, dia menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang bukan sahaja untuk menemani Khrisnan, malah merealisasikan cita-citanya bergelar peguam.
Tambah bapa kepada tiga anak itu, azamnya adalah untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan kelainan upaya bagi mendapatkan keadilan.
“Sekiranya berjaya bergelar peguam, saya bercadang untuk mewakili anak guam daripada golongan terbabit secara ‘pro bono’ (percuma),” katanya.