SEGAMAT – Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian curi tangga dan pam racun milik Masjid Bekok di Bekok, Segamat di sini pada 8 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, penahanan suspek di sekitar Bekok tidak sampai enam jam selepas laporan polis diterima.
“Suspek berusia lingkungan 29 dan 45 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 5 petang selepas enam jam laporan polis diterima.
“Kecurian dua peralatan masjid berkenaan disedari hilang pada 8 Ogos lalu, selepas ahli kariah masjid selesai melakukan audit.
“Mereka mendapati sebuah tangga dan pam racun diletakkan di dalam stor penyimpanan masjid sudah tiada dan terus memaklumkan pada ahli jawatankuasa masjid berkenaan serta membuat laporan polis di sini,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, siasatan mendapati kedua-dua barangan tersebut telah dijual kepada pengusaha barangan lusuh warga tempatan berusia 29 tahun dengan nilai RM150.
Menurut Ahmad Zamry, siasatan dan risikan dijalankan JSJ IPD Segamat bersama anggota polis Bekok berjaya mengenal pasti suspek terlibat.
“Siasatan serta serbuan kita juga menjumpai semula tangga aluminium serta pam racun yang dicuri di dalam lokasi pengusaha barangan lusuh tersebut.
“Kita juga mendapati suspek 45 tahun telah merancang pergi ke stor masjid pada pukul 12 tengah hari ketika kejadian sebelum ketibaan kariah bersolat Zohor untuk mengelakkan pertembungan.
“Suspek turut merosakkan jaring stor berkenaan sebelum memasukinya setelah mendapati pintu berkunci,” katanya.
Suspek direman sehingga esok dan semakan rekod mendapati keduanya memiliki rekod kesalahan berkaitan jenayah dan dadah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE