PUTRAJAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) memutuskan untuk bertanding menggunakan nama dan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
Ia susulan usaha bagi mendaftarkan GTA belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pengerusi Penajanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pendaftaran GTA belum diluluskan sehingga kini biarpun Parlimen sudah dibubarkan.
Bagaimanapun, katanya, GTA tetap akan bertanding malah, meletakkan calon daripada empat parti gabungan pada PRU-15 kecuali di Kelantan.
“Di Kelantan, yang akan bertanding di situ adalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), namun calon yang akan bertanding masih dalam kalangan GTA.
“Putra akan bertanding sendiri di Kelantan sahaja, tapi di negeri lain mereka (calon Putra) akan bertanding dengan nama Pejuang di Terengganu dan Perak serta negeri-negeri lain,” katanya pada sidang akhbar selepas mensyuarat GTA di sini hari ini.
Ujar beliau, pihaknya memutuskan walaupun bertanding dengan nama Pejuang, namun ia tidak bermakna semua calon adalah dari Pejuang.
Dr. Mahathir berkata, pihaknya juga memutuskan untuk menampilkan lebih 120 kerusi Parlimen atau lebih pada PRU-15.
Menurutnya, pihaknya juga bersetuju agihan kawasan dan calon akan ditentukan oleh presiden parti gabungan masing-masing termasuk wakil persendirian dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO).
“Calon yang akan ditampilkan bebas daripada skandal, jenayah dan menghormati sistem demokrasi di negara ini,” katanya.
Katanya, pihaknya juga bersetuju tentang kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti yang sebulu dengan GTA dan akan bekerjasama dengan parti itu jika mereka ingin menyelamatkan negara daripada pemerintahan UMNO.
Ditanya sama ada kewujudan GTA punca kepada perpecahan Melayu di negara ini, Dr. Mahathir berkata, pihaknya menafikan perkara itu kerana GTA jelas menyatupadukan orang Melayu menerusi gabungan empat parti dan NGO. -KOSMO! ONLINE