PETALING JAYA – Wajah anak Neelofa, Muhammad Bilal terus menjadi tanda tanya ramai terutama peminat setia selebriti popular itu.
Semalam, tular dalam TikTok sebuah video dimuat naik seorang wanita yang mendakwa berjaya merakam wajah Bilal.
Individu itu memuat naik gambar seorang bayi lelaki yang didukung seorang wanita dipercayai Neelofa ketika berada di sebuah klinik.
“Akhirnya boleh tengok juga (wajah) Bilal, betul ke ni? Kena saman ke tak ni?” tulis wanita itu di ruangan kapsyen.
Dalam video tersebut, dia menghimpunkan beberapa keping foto Bilal yang pernah dimuat naik Neelofa di dalam Instagram dengan menyembunyikan wajah anaknya menggunakan emoji pelekat (sticker).
Pada penghujung video, foto bayi yang didakwa Bilal diletakkan dengan memaparkan jelas wajahnya dari arah depan.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen berbagi pendapat dengan ada dalam kalangan mereka bersetuju ia adalah wajah Bilal, dan ada pula yang sebaliknya.
“Bukan okey. Yang dah tengok saja tahu muka Bilal. Mata dia sebiji Lofa. Tetapi saya pun belum tengok lagi,” komen seorang netizen.
“Betul-betul Bilal ke tu? Nanti emak Bilal komen, maaf itu bukan Bilal,” kata seorang netizen lain.
“Akhirnya terbongkar muka Bilal,” ujar seorang lagi netizen.
Bagaimanapun, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada itu adalah foto Bilal atau tidak.
Sebelum ini, pernah tular foto mendedahkan wajah Bilal, namun dinafikan Neelofa.
Pada masa sama, harapan peminat menantikan pendedahan wajah bayi popular itu dikatakan semakin menjadi nyata selepas Neelofa memberitahu semua akan dapat melihat muka Bilal tidak lama lagi.
Neelofa dan suaminya Haris akan membawa anaknya bercuti dan mulai saat itu, dia tidak lagi menyorokkan wajah Bilal daripada umum.
Beberapa hari lalu menerusi Instagramnya, Neelofa berkongsi hantaran dia sedang berkemas untuk persiapannya bercuti bersama Bilal buat pertama kali.
Bilal yang kini berusia lapan bulan merupakan cahaya mata hasil perkongsian hidup Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah bebas, Haris Ismail pada 27 Mac 2021. – KOSMO! ONLINE