KUANTAN – Buat julung kalinya kerajaan Negeri Pahang menyumbangkan sebanyak 22 traktor bernilai RM3.45 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Pahang untuk kegunaan petani di negeri ini.
Dua traktor akan diagihkan masing-masing ke 10 daerah kecuali Cameron Highlands, manakala dua lagi akan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyerahan traktor berkenaan adalah atas dasar keprihatinan kerajaan negeri yang mendapati petani sukar untuk mendapatkan kemudahan traktor.
“Pejabat Pertanian di setiap daerah akan sewakan traktor ini pada kadar yang murah kerana traktor ini juga perlu diselenggara dan sebagainya.
“Mereka (petani) juga bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri kerana bukan sahaja kemudahan traktor ini sukar untuk duperolehi, malah kadar sewanya juga tinggi,” katanya pada Majlis Penyerahan Jentera (Traktor) kepada Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom di pekarangan DUN Sri Wisma Pahang, di sini, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, petani boleh mengemukakan permohonan untuk menyewa traktor berkenaan di pejabat pertanian daerah masing-masing dalam masa terdekat.
“Saya harap traktor ini dapat dijaga dengan baik. Jika kerajaan negeri memiliki kewangan yang baik tidak mustahil kita akan tambah lagi satu atau dua.
“Kita tengok kepada keadaan kerana ini adalah julung kali berlaku, belum pernah lagi kita sewakan traktor dari kerajaan negeri yang disumbangkan kepada pejabat pertanian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE