fbpx

Mahkamah: Lelaki didakwa culik, bunuh teman wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jai Loon ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. - Foto FAIZ ALIF

KAJANG – Seorang penyelia tapak pembinaan didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas dua pertuduhan menculik dan membunuh teman wanitanya di sini bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Lai Jai Loon, 27, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kedua-dua pertuduhan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus, tertuduh didakwa mencapai niat bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM40,000 dan menahan seorang wanita Ho Mei Ling, 27, dengan melarikannya secara salah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan hadapan sebuah rumah, di Jalan Kenari 1, Taman Kenari Lenggeng, Negeri Sembilan pukul 3.50 petang pada 25 September lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara di hadapan Majistret Syahrul Sazly, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap wanita sama di tepi jalan Bukit Tekali di sini pukul 3.50 petang antara 25 September hingga 27 September lalu pukul 3 petang.

Bagi pertuduhan bunuh itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar dan Nurul Husna Amran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini bagi sebutan semula kes.

Pada 30 September lalu, media melaporkan mayat wanita dipercayai menjadi mangsa culik pada ditemui dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 September lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, mangsa berusia 27 tahun yang disyaki dibunuh itu ditemui orang awam pukul 3.30 petang.

Munurut polis, pemeriksaan lanjut ke atas mayat berkenaan mendapati mangsa merupakan kes culik sedang disiasat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen yang ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN