SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan peningkatan kemasukan penuntut antarabangsa sebanyak 13.97 peratus bagi sesi 2022/2023 yang bermula secara fizikal sepenuhnya hari ini.
Menurut Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, perkembangan positif itu membuktikan agenda pengantarabangsaan universiti tersebut sejak sedekad lalu membuahkan hasil memberangsangkan.
Katanya, sesi kali ini menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa sebanyak 13.97 peratus iaitu sebanyak 205 pelajar berbanding kemasukan tahun lalu iaitu 93 orang.
“Peningkatan ini pertamanya adalah hasil usaha universiti dalam konteks mempromosikan program kita di pasaran antarabangsa.
“Namun demikian selain promosi, usaha dilakukan oleh universiti sejak dahulu lagi khusus 12 tahun terakhir ini dalam agenda pengantarabangsaan, kita berpandukan kepada pelan strategik sudah membuahkan hasil,” katanya pada sidang akhbar Kemasukan Pelajar Baharu Sesi 2022/2023 di kampus UUM di sini hari ini.
Kata beliau, UUM juga berjaya berada dalam ranking dunia iaitu dalam masuk senarai 481 terbaik di dunia.
“Jadi ini satu pencapaian besar bagi sebuah universiti seperti UUM daripada keseluruhan 20,000 hingga 30,000 universiti seluruh dunia,” ujarnya.
Menurut beliau, penuntut antarabangsa yang paling ramai mendaftar adalah dari Indonesia iaitu seramai 89 orang, Jepun (4), China (4) dan Perancis (3).
“Semua pelajar antarabangsa ini mula mendaftar sejak 13 September lalu secara dalam talian,” jelasnya.
Ujarnya, UUM menerima kemasukan 4,067 pelajar baharu terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa. – KOSMO! ONLINE