Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Kegiatan sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai RM1 juta menggunakan bungkusan teh cina tumpas apabila diserbu pihak berkuasa di kawasan parkir di Jalan Gasing, Petaling Jaya di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang pada Jumaat lalu itu, tiga suspek masing-masing adalah pemandu e-hailing dan pemilik kedai cuci kereta serta seorang peniaga ikan warga Indonesia berusia 36 hingga 38 tahun diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan awal mendapati pemandu e-hailing tersebut bertindak sebagai penghantar dadah yang diperolehi dari salah sebuah negeri di utara tanah air.
Katanya, semasa serbuan dilakukan pemandu e-hailing tersebut yang menaiki kereta jenis Toyota Vios itu sedang menunggu dua lagi rakannya di kawasan parkir tersebut.
“Sewaktu transaksi pengedaran dilakukan, kita segera memberkas ketiga-tiga suspek berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di bonet kereta Vios itu menemukan 23 bungkusan teh cina mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 24.39 kilogram dianggarkan RM1.09 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Noor Azam memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan bekalan dadah tersebut adalah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada mereka yang merupakan warga tempatan positif dadah.
“Kesemua mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – K! ONLINE