SERDANG – Seorang lelaki warga tempatan maut akibat rentung dalam kebakaran melibatkan kereta Perodua Kancil berdekatan sebuah masjid di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian tersebut sekitar pukul 11.35 malam dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong tiba di lokasi pukul 11.44 malam.
“Setibanya di lokasi, mangsa yang berada di bahagian kerusi pemandu tidak dapat diselamatkan disebabkan fizikal badan mangsa terbakar sepenuhnya.
“Identiti mangsa yang bersendirian dalam kereta yang terbakar sepenuhnya itu masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, kerja-kerja pemadaman telah dilakukan oleh anggota bomba sehingga keadaan terkawal. – KOSMO! ONLINE