PETALING JAYA – Kehadiran pemuzik jalanan ataupun ‘busker’ di restoran bukan lagi sesuatu yang baru.
Tidak dinafikan semakin banyak restoran ataupun tapak kedai makanan yang memberi ruang untuk pemuzik jalanan ini menghiburkan pelanggan.
Bagaimanapun, ada sesetengah pelanggan yang kurang senang dengan kehadiran pemuzik ini kerana ada kumpulan ‘busker’ yang didakwa memasang pembesar suara terlalu kuat sehingga mengganggu pelanggan sedang menjamu selera.
Perkara itu disuarakan netizen di Twitter apabila ramai berpendapat kehadiran ‘busker’ di kedai makan menyebabkan suasana menjadi tidak aman.
“‘Busker’ yang buat persembahan dekat kawasan kedai makan adalah memekak. Suasana tak aman, tak pedulilah suara kau sedap atau tidak. Lagi-lagi ‘busker’ yang tak kawal ‘sound system’. Ikut kepala dia saja,” luah seorang pengguna Twitter.
Perkara itu ternyata mendapat persetujuan orang ramai dengan rata-ratanya berkongsi pendapat sama serta berharap supaya mana-mana pemuzik bersikap bertimbang rasa.
“Setuju. ‘Busker’ sepatutnya akustik dan ‘unplug’ bukannya bawa turun gitar elektrik, drum segalanya. Orang nak makan kot,” kata Kura.
“Saya setuju, ‘busker’ boleh sahaja. Cuma suaikan dengan keadaan. Jangan terlalu bising hingga menyakitkan telinga,” kata Xavier Naxa.
“Sebagai manusia yang main muzik, aku setuju juga benda ini. Busking tak salah, yang salahnya pemilihan lagu itu. Tak semua lagu dekat karaoke jamban boleh buat busking,” kata Zulled.
“Ya, betul! Sama macam dekat kenduri kahwin. Patutnya ‘sound’ kena tenang dan ‘rileks’. Ini sampai aku nak berborak kat meja pun kena jerit terpekik-pekik,” kata Lisa. – KOSMO! ONLINE