fbpx

Skuad Harimau Muda patahkan sayap Garuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain skuad B-17 negara dan pegawai pasukan meraikan kejayaan muncul juara Kumpulan B, sekali gus lolos ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 di Stadium Pakansari, Bogor kelmarin.

KETUA jurulatih skuad bawah 17 (B-17) negara, Osmera Omaro memuji barisan pemain yang mempamerkan aksi hampir sempurna untuk lolos ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 dengan menjuarai saingan kelayakan Kumpulan B di Indonesia.

Skuad muda Harimau Malaya sah bergelar juara kumpulan selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia 5-1 pada aksi di Stadium Pakansari, Bogor kelmarin.

Menurut Osmera, apa yang dilakukan oleh barisan pemain bukanlah sesuatu yang mengejutkan selepas tampil begitu bertenaga dengan meledak lima gol pada separuh masa pertama.

“Saya lihat barisan pemain mendengar arahan taktikal yang telah saya terapkan dan mereka terjemahkan dengan baik di atas padang. Perbezaan kali ini adalah semua peluang keemasan yang kita raih menjadi gol.

“Situasi berbeza ketika kita bertemu Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini yang mana banyak peluang kita sia-siakan tetapi pemain sudah belajar daripada kesilapan lepas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Osmera berharap pasukan tidak mendabik dada selepas berjaya mencapai objektif layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 dengan memperbaiki kesilapan dari masa ke semasa.

“Secara keseluruhan, saya anggap kempen pasukan pada aksi kelayakan kali ini berjaya kerana kita telah mengharungi aksi tanpa tewas pada empat perlawanan.

“Daripada sudut teknikal juga seperti biasa, pemain menunjukkan prestasi yang bagus tetapi saya anggap masih ada ruang yang boleh diperbaiki sebelum mengharungi kejohanan utama nanti,” katanya.

Ini adalah kali keenam skuad B-17 negara layak ke pentas Piala Asia B-17 selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 selaku tuan rumah.

Pencapaian terbaik skuad muda Harimau Malaya di saingan belia berprestij itu adalah pada edisi 2014 ketika mara ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Australia 1-2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI