OSTRAVA – Impian pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek untuk melebarkan kemenangan ke-61 musim ini tidak kesampaian apabila tumbang pada aksi final Terbuka Ostrava semalam.
Pemain kelahiran Republik Czech, Barbora Krejcikova berjaya menamatkan penguasaan Swiatek dengan kemenangan menakjubkan 5-7, 7-6 (7/4), 6-3 dalam tempoh tiga jam 18 minit.
Kemenangan Krejcikova membolehkan pemain ranking No.14 dunia itu meraih gelaran kelimanya dalam kariernya dan kedua berturut-turut selepas melakar kemenangan di Terbuka Tallin awal bulan ini.
“Saya akui bila melangkah ke final dan berdepan Swiatek, ia akan menjadi perlawanan besar. Pada aksi sebentar tadi kami memberikan persembahan yang menakjubkan kepada peminat.
“Jadi, saya gembira dengan cara saya beraksi. Ia adalah kemenangan terbesar yang pernah saya mainkan.
“Ini adalah perlawanan terbaik yang saya fikir pernah saya main dalam hidup saya. Sukar untuk saya ungkapkan perasaan saya ketika ini,” kata Krejcikova.
Swiatek yang meraih kemenangan ke-60 dengan menewaskan pemain Rusia, Ekaterina Alexandrova memuji persembahan memukau Krejcikova.
Bagi Swiatek, ia kekalahan kedua dalam kariernya dalam 12 perlawanan terakhir dan pertama dalam tempoh tiga tahun.
“Dia seorang juara dan pemain yang hebat, jadi saya menjangkakan bahawa dia tidak akan memberikan saya laluan mudah.
“Jadi, saya teruskan aksi dan ternyata Krejcikova tidak memberikan saya perlawanan yang mudah,” katanya. – AGENSI