fbpx

Gendang perang PRU-15 sudah dipalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNDI kini semakin bijak memilih calon terbaik untuk berkhidmat di kawasan mereka.

Spekulasi pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akhirnya terjawab semalam. Parti politik kini memasuki gear lima untuk memperkasakan pengaruh masing-masing.

Maklumat kawasan hitam dan putih sudah dikumpul dan dibuat analisis. Calon yang berpotensi menang menjadi pilihan. Kalau diminati sudah tentu dia disukai rakyat. Boleh buat kerja.

Jalan untuk mengadakan PRU-15 penuh liku dan drama. Sementara hendak tiba tarikh itu, kerusi perdana menteri bertukar sebanyak tiga kali dalam suasana penuh kontroversi hingga digelar kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Gerakan demi gerakan dilakukan secara senyap, seakan perang saraf. Nampaknya alasan banjir besar akan melanda penghujung tahun ini bukan penghalang untuk memilih kerajaan yang stabil.

Selain calon yang tepat, elemen terpenting ketika ini ialah kempen mempromosikan manifesto masing-masing dengan meletakkan orang yang sesuai untuk menjadi perdana menteri dan wakil rakyat.

Sehingga hari pengundian yang dijangka pada November depan, sudah pasti laman sosial dan dada-dada akhbar dipenuhi dengan berita politik.

Politik wang akan berjalan secara senyap. Menyusup di setiap peringkat seperti arus Sungai Klang. Sukar untuk dikawal kerana semua orang suka kepada duit.

Pihak yang mendapat tender mencetak poster, manifesto dan bendera paling gembira. Walaupun tak terpilih sebagai calon, duit besar akan masuk akaun syarikat masing-masing.

Tukang gantung poster yang biasanya dilakukan oleh orang bawahan gembira apabila diberi duit minyak atau kopi untuk memacak bendera di segenap pelosok kampung dan kawasan pengundian.

Apa khabar dengan Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu? Siapa yang menjadi kerajaan bertanggungjawab untuk melunaskan segala janji-janji dan bantuan yang disebut di Parlimen tempoh hari.

Parti-parti besar seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional berharap akan menjadi kerajaan. Mereka mempunyai peranan besar untuk menstabilkan ekonomi dan menarik pelabur luar untuk menurunkan inflasi serta mengukuhkan ringgit.

Serangan peribadi ketika berkempen sudah menjadi lumrah. Fakta dan angka ditolak tepi. Hanya mereka yang cerdik pandai akan menilai dari segi itu. Yang lain akan mengikut emosi dan persepsi yang dimainkan.

Jangan pernah lupa apa yang berlaku pada PRU-14 apabila isu IMDB telah meruntuhkan kerajaan BN. Isu nasional itu dijaja di segenap sudut bagi memastikan PH memerintah buat kali pertama walaupun tak lama.

Suruhanjaya Pilihan Raya sudah tentu bimbang dengan peratusan keluar mengundi yang rendah sekiranya PRU-15 berlangsung dalam keadaan banjir.

Semak, selidik dan pandang keliling sebelum memangkah. Banyak jarum cuba mencucuk. Pilih dengan bijaksana kerana anda penentu masa depan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI