Dua minggu lalu, dunia hiburan dikejutkan apabila pelakon lelaki popular, Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Sepang atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang pada Mac lalu.
Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, didenda selepas aktor itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Ia apabila mengikut pertuduhan Zul Ariffin menerusi aplikasi Instagram ‘zul_ariffin’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 18 Mac lalu.
Justeru pendakwaan terhadap selebriti itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tempoh tidak lebih satu tahun jika disabitkan kesalahan.
Sebelum ini media melaporkan kontroversi timbul apabila pelakon itu didakwa berkongsikan video ‘babak panas’ bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri dalam Instagram.
Tindakan memuat naik ‘teaser’ drama berkenaan mengundang kecaman warga maya, selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Bagi pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah, beliau berpendapat pada zaman moden dengan teknologi yang canggih, kandungan sumbang dan jelik yang berlegar di laman media sosial tidak boleh dipandang ringan.
“Ini kerana pada zaman media sosial ini, bukan sahaja orang dewasa menggunakannya, malah ia juga digunakan oleh golongan kanak-kanak dan remaja.
“Jika terdapat penyebaran kandungan sumbang dan jelik ini kita bimbang akan mendatangkan kesan tidak baik dan pengaruh negatif kepada masyarakat dari sudut psikologi,” katanya.
Justeru katanya sekiranya terdapat bukti, pertuduhan memang boleh dikemukakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sebelum ini pada Jun lalu, media pernah melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius tindakan selebriti terkenal memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok masing-masing.
MCMC dalam kenyataannya berkata, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh seharusnya peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang.
Bagi pendapat penulis yang penting adalah tidak kiralah apa pun status kita, orang biasa, orang kenamaan atau selebriti, kita perlu lebih peka sekiranya memuat naik sesuatu kandungan, lebih-lebih lagi dalam media sosial.
Seperti kata orang pepatah Melayu ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.